Monday 27 August 2007

2.Tafakur Ilahiyah

2.Tafakur Ilahiyah

http://kembang-wali.blogspot.com/

Bismillah hirRahman Nirrahim

Firman Allah swt:

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”(Al-Asr:1-3)

Maha Besar Allah yang menjadikan diri-Nya sebagai satu-satunya yang sedang melihat dan menatap setiap gerak dan langkah, mendengar sehalus apapun bisikan, mendengar degup-degup setiap jantung, dan mengalirkan setiap darah. Dialah yang tidak pernah jauh dan lalai dalam mengurus setiap makhluk yang Ia ciptakan. Ia menjadi satu-satunya Pengasih yang tiada bandingan, kerana tidak pernah membeza-bezakan pemberian-Nya kepada sesiapapun. Dialah kekasih yang tidak pernah mungkir dan rakan yang amat setia lagi membantu di semua situasi. Dialah yang menjadi matlamat dan harta yang paling bernilai.

Nabi saw bersabda:

“Bersegeralah kamu kepada kebaikan,muda sebelum datang tua, sihat sebelum datang sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, hidup sebelum datang ajal.”

Nabi saw bersabda:
“Menuntut ilmu wajib bagi tiap-tiap orang Islam”

Firman Allah:Adakah sama orang yang berilmu dengan orang tidak berilmu?(Az-Zumar:9)

Ilmu adalah cahaya,ilmu adalah penyuluh.Tanpa ilmu manusia dalam kegelapan,manusia mudah tersesat.Justeru itu ilmu mesti mendahului amal,amal tanpa ilmu bagaikan debu yang berterbangan.Orang yang tiada ilmu mudah ditipu oleh syaitan, mereka mudah tersesat dengan manusia yang pandai bercakap, yang mempunyai kelebihan dan sebagainya.Jika kita ingin menghidupkan hati, tiada jalan lain untuk menempuhnya melainkan dengan jalan ibadah.Apabila kita mahu beribadah, kita mestilah berilmu kerana ibadah tanpa ilmu akan hancur malah penuh kerosakan.

Pendidikan itu mestilah bermula dari pembinaan rohaniah. Pembinaan insan yang hanya terhenti setakat memantapkan 'mind-setting' tidaklah tepat mengikut saranan Nabi Muhammad s.a.w. Perubahan itu perlu bermula dari dalam lubuk diri. Tafakur Ilahiyah memulakan perjalanan rohaniah insan kepada Tuhan dengan Falsafah & Methologi yang diwarisi dari kedalaman lautan khazanah para ulama.

Sesungguhnya dalam jasad anak Adam ada seketul daging, jika BAIK ia, maka BAIKlah seluruh jasad, jika FASAD (Rosak) ia, maka FASADlah seluruhnya. Ketahuilah ia adalah hati – (Hadith Riwayat Bukhari Muslim).

Perbezaan ilmu tenaga Dalam & ilmu tenaga Rohani

Ilmu tenaga Dalam adalah ilmu yang berdasarkan latihan pada beberapa fakulti manusia seperti latihan nafas dan kuasa minda.Ia boleh dipelajari oleh sesiapapun sama ada ia Islam atau tidak.Cuma bila tenaga dalam diajar oleh Islam, ia memasukkan beberapa kalimah zikir pada setiap pergerakan ketika melakukan pernafasan dan meditasi.(Mungkin ini kaedah mereka membawa masyarakat terutamanya anak-anak muda supaya mengingati Allah, semoga Allah memberkati keikhlasan mereka.)

Disamping itu ada juga yang menggunakan jampi serapah, menggunakan khadam jin dan yang lebih bahaya menggunakan syaitan.Ilmu seperti ini diberi Tuhan kepada sesiapa sahaja kerana ia adalah termasuk hukum fizik.Justeru jangan hairan melihat ramai orang yang mempunyai kebatinan yang hebat, dapat melakukan pelbagai keajaiban dan ada di kalangan mereka yang berzikir berpuluh ribu sehari, tetapi sangat lemah dalam pengamalan Islam pada diri dan keluarga mereka, malah pengetahuan tentang agama Allah juga lemah.

Mereka masih lagi melakukan maksiat dan mempunyai sifat takbur, riak, tamak dengan dunia, menipu dan sebagainya.Ini disebabkan pengamalan mereka sama ada dalam gerak langkah, bentuk latihan nafas atau meditasi walaupun mempunyai kalimah al-Qur’an dan zikir, tenaga zikir tadi tidak menjadi tenaga pembersih rohani tetapi kepada membina tenaga dalam semata-mata.Inilah yang disabdakan Nabi saw:

”Bermula amal itu dengan niat.”

Iaitu mereka akan memperolehi apa yang diniatkan.

Berlainan dengan tenaga rohani seperti memperolihi ilham, kasyaf, menyembuhkan penyakit, menghancurkan ilmu-ilmu hitam dan sebagainya, ia merupakan anugerah Allah swt kepada hamba-hambaNya yang dikasihi.Mereka hanya mahu menuju pembersihan rohani dan kembali makrifat kepada Tuhan yang dirindui.Tenaga ayat-ayat Allah, ibadah, melakukan kebaikan, bertafakur, melakukan latihan konsenstrasi (penumpuan) adalah semata-mata menghampiri Allah swt.

Firman Allah swt:

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh dijalanKu, ia akan dibuka jalan (Ilham) baginya, sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankaabut:69)

Kekuatan kerohanian akan datang sendiri tanpa diminta-minta kerana kerohanian mereka telah tenggelam dalam kota Allah swt, inilah yang disebut oleh Allah swt dalam satu hadis Qudsi:

“Barang siapa yang berada dalam kota-Ku, Aku adalah penjaganya.”

Tenaga Rohani dan latihan

“Tidak aku jadikan manusia melainkan untuk menyimpan rahsia-Ku dan sesungguhnya manusia itu rahsia-Ku dari Akulah yang menjadi rahsianya.:(Hadith)

Tenaga Rohani yang dimaksudkan dalam latihan ini adalah untuk membina kembali potensi Ruh kepada mengenal Tuhannya.Apabila disebut mengenal Tuhan, ia terbahagi kepada empat bahagian:

:- Mengenal secara Taqlid –:- Iaitu mengenal Allah hanya pada nama tidak mempunyai pengetahuan yang mantap tentang Ilmu KeTuhanan.

:-Mengenal secara Ilmu Yakin -Martabat Syariat:Iaitu mengenal Allah dengan jalan mengenal wujud makhluk yaini bagaimana mengikut cara ilmu usuluddin.Martabat ini adalah ibarat kenal buah durian melalui kulit lahir sahaja.

:- Mengenal secara Ainul Yakin-Martabat Makrifat:Iaitu mengenal Allah dengan jalan hadir pengetahuan rasa (dzauk) ke dalam hati.Ibarat kenal isi durian setelah dikoyak kulit tetapi belum dimakan (dirasa)

:- Mengenal secara Haqqul Yakin-Martabat Hakikat:Iaitu mengenal Allah dengan jalan hadir kedalam hati rasa syuhud yang ada kemanisan dan kelazatan, ibarat dapat merasa kelazatan durian itu setelah ia dapat mengecap isinya.Keimanan yang dicapai melalui ilmu ini hasil daripada musyahadah, yakni hatinya sentiasa berpandangan dengan Allah Taala pada setiap masa.Inilah iman yang haq,yang lebih tinggi kedudukannya dari iman “Ainul Yakin”.

Oleh itu muhasabah diri kita, adakah kita merasai dalam dada bahwa Tuhan sentiasa melihat atau mendengar perkataan kita, atau kita merasai sentiasa bersama dengan Tuhan di mana sahaja kita berada,Kalau tiada (perasaan seperti itu), bermakna ilmu kita belum menjunam kedalam dada.Kita akan lemah keyakinan, kita akan hilang Tuhan apabila berlaku masaalah.Ketika solat, kita tidak dapat mencapai kelazatan dan maqam ihsan, ia hanyalah perbuatan untuk melepaskan diri dari dosa syariat sahaja.Bahkan beribadah dengan penuh kelalaian adalah syarat menjadi penghuni neraka.Na’uzubiLahi min dzalik.

Inilah yang dikatakan ilmu penuh pada fikiran tetapi dada kosong dengan takut pada Allah.

“Kamu hendaklah beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya.Jika kamu tidak melihat-Nya,sesungguhnya Dia melihatmu.”(Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)

Bagaimana mengembalikan potensi Ruh?

Ruh itu adalah diri kita yang sebenarnya.Yang kita harus tahu mengenai sifat-sifatnya dan asal usulnya kerana (ruh) inilah yang akan kembali kehadrat Allah, dan bukannya diri jasad ini.Jasad hanya menjadi pembungkus diri batin yang sifatnya (mahdas) dan akan hancur ditelan bumi.

Pembersihan Ruh yang tidak melalui jalan kenabian tidak akan membawa manusia kepada makrifat, tetapi akan membawanya kepada bentuk khayalan di alam rohani yang dicipta oleh Jin dan Syaithan, sebagaimana mereka yang mengikuti thaghut dan sebagainya.Hal ini telah disedari oleh kebanyakan mereka kerana kekuatan rohani mereka hanya terbatas di alam malakut sedangkan kekuatan rohani orang Islam tiada batasannya.Justeru itu jika kerohanian Islam bertembung dengan yang bukan Islam, nescaya kerohanian bukan Islam rebah tersungkur.Hal ini disebutkan dalm Al-Qur;an:

Firman Allah swt:
“Jika datang kebenaran akan terhapuslah segala kebatilan”. (al-Isra:81)

Ilmu mereka tidak dapat menembusi seorang mukmin yang memiliki kekuatan kerohanian.Hal ini dapat kita lihat berlaku kepada pendakwah-pendakwah Islam, misalnya di alam Melayu, Nusantara dan India, di mana mereka dapat menundukkan kehebatan ilmu dari ketua-ketua agama luar dari Islam sehingga ramai di antara mereka memeluk Islam.Ini tidak lain kerana ilmu-ilmu kebatinan mereka bersandarkan kepada Jin dan Syaitan sedangkan ilmu kerohanian Islam bersandarkan kepada Allah swt.

Bagi mereka yang mahu membina tenaga kerohanian, perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kehebatan yang berbentuk maknawi bukanlah menjadi tujuan.Mereka berpegang dengan kalimah”Ilaahi anta maqsudi, wa ridha kamatluubi” yang bermaksud, ”Hanyalah pada Mu Tuhan yang kami maksudkan dan keredhaan Engkau yang dicari”

Kerana ilmu-ilmu seperti itu adalah rendah disisi Allah swt kerana berbentuk duniawi yang akan hancur.Malah ilmu itu tidak dapat memberi perlindungan kepadanya dalam menghadapi sakaratul maut, ketika di alam barzakh dan seterusnya di alam akhirat.Mereka beramal semata-semata untuk menuju pembinaan iman kerana bagi mereka, sesiapa yang berjaya menjadi kekasih Allah swt, segala ilmu dan kelebihan dunia dan akhirat diperolehi dengan mudah.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home